Tempoh saringan wajib di pintu kemasukan Sarawak bagi setiap warganegara Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dilanjutkan ke 31 Ogos depan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bagi pengunjung yang mempunyai urusan penting, mereka boleh melakukan pengecualian, namun bersyarat.

Berikut merupakan lima tumpuan penting yang dibawakan menerusi sidang media berkenaan pada Selasa.

1. Rakyat harus menjalani saringan wajib di pintu masuk utama ke Sarawak. Ia dikenakan ke atas warganegara yang tiba dari Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

2. Walau bagaimanapun, bagi yang berkhidmat dalam sektor penting seperti penjawat awam dan untuk urusan perniagaan, mereka boleh mengemukakan surat kebenaran dari majikan atau melakukan permohonan melalui EnterSarawak.

3. Pembukaan sesi persekolahan di daerah Kuching, Samarahan dan Padawan kekal dibuka pada 17 Ogos depan.

4. Tiada sebarang kes COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini. Jumlah kumulatif bagi wabak berkenaan masih kekal 681 kes.

5. Sementara itu, pihak JPBNS mengambil maklum kewujudan 37 titik panas di seluruh negeri itu yang boleh mengakibatkan jerebu sekiranya bertambah. Oleh itu, JPBNS akan mengambil langkah awal termasuk melaksanakan undang-undang lebih tegas khasnya yang membabitkan aktiviti pembakaran terbuka.