Semua kenderaan terbiar terutamanya di kawasan kediaman akan dilupuskan dalam masa sebulan termasuk selepas diberikan notis satu minggu bermula tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) isu berkenaan akan dimuktamadkan selepas mesyuarat kedua Majlis Pengangkutan Negara (MPN) November ini.

Jelasnya, ia sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan depoh pengumpulan kereta terbiar dan tempoh masa setahun untuk menyelesaikan prosedur pelupusan sebelum ini.

"Maksimum kini satu bulan sahaja, minimum satu minggu untuk notis dan dalam depoh tidak sampai tiga minggu.

"Kemudian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan nyahdaftar, kemudian kita minta biro pengaduan awam untuk berbincang bersama semua pemegang taruh dan akan dimuktamadkan pada November nanti.

"Kita akan minta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), saya lihat awal tahun depan," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat MPN kali pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Anthony dilaporkan berkata, pihaknya akan melakukan kajian mengenai keperluan sijil nyahpendaftaran untuk kenderaan terbiar dan tidak dipakai.

Jelasnya, sijil tersebut adalah bagi membolehkan proses penghapusan kereta-kereta tersebut dijalankan demi kententeram awam di kawasan perumahan.

Dalam pada itu katanya, statistik dari 2014 sehingga 2017 menunjukkan 15,000 kereta terbiar yang hanya melibatkan lapan PBT.

"Lapan PBT itu ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Ipoh (MPI) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)," jelasnya.

Sebelum ini Anthony berkata, setakat ini masih belum ada peraturan atau undang-undang di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membolehkan kereta terbiar ini dihapuskan.

Katanya, ia berikutan kereta terbiar tersebut masih lagi dalam status berdaftar.

Selain itu ujar Anthony, perkara lain yang dibincangkan di dalam mesyuarat berkenaan adalah penerangan industri pengangkutan, e-hailing dan perkhidmatan teksi, perkhidmatan bas percuma di Selangor dan Pulau Pinang serta parkir kenderaan berat di kawasan perumahan.