Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan melawat makam Almarhum Sultan Abu Bakar sempena Hari Hol di Makam Diraja di sini, hari ini.

Tengku Abdullah yang ditemani Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba sekitar jam 10 pagi, disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Upacara berkenaan dimulakan dengan majlis tahlil dan bacaan Yasin yang diketuai oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman.

Tengku Abdullah kemudian berkenan menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam Almarhum Sultan Abu Bakar selain beberapa makam kerabat diraja yang lain.

Tengku Abdullah

Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula tahun 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Sultan Abu Bakar iaitu ayahanda Sultan Ahmad Shah yang masih bertakhta pada hari ini.

Serentak dengan hari pemakaman Sultan Abu Bakar itu, semua jabatan kerajaan negeri, Persekutuan dan swasta diarah bercuti selama sehari.

makam

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama isterinya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyiram air mawar ketika menziarahi makam Almarhum Sultan Abu Bakar sempena Hari Hol di Makam Diraja Pahang.