Pejabat DYTM Raja Muda Selangor menafikan bahawa Tengku Amir Shah terlibat dalam program Santai Teh Tarik bersama dengan 4 Putra Mahkota seperti yang tular baru-baru ini.

Melalui satu kenyataan di Facebook rasmi, Selangor Royal Office, pihak Istana Selangor juga amat kesal dengan penggunaan gambar Raja Muda Selangor tanpa kebenaran.

Pihak istana juga mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang mengelirukan tanpa sebarang pengesahan rasmi pihak Istana.

BACA : Tengku Hassanal nafi terbabit Program Teh Tarik

Sebelum ini telah tular satu poster di laman media sosial yang mendakwa Program Santai Teh Tarik Bersama 4 Putra Mahkota akan berlangsung di Mahkota Parade, Bandar Hilir, Melaka pada 5.30 petang, pada Isnin.

Poster itu memaparkan gambar Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seorang lagi 'Putera Mahkota' yang tidak dinyatakan identitinya.