Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menafikan sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) akan menyuntik dana RM5 bilion kepada Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines).

Tengku Zafrul yang juga Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, berkata beliau tidak pernah mendengar sebarang rancangan mengenai suntikan dana kepada syarikat penerbangan berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga tidak berhasrat berbuat demikian.

"Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, ini pertama kali saya dengar laporan itu. Secara jujur, saya tidak pernah dengar (daripada) Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines atau Ketua Pegawai Eksekutif Khazanah mengenai suntikan dana.

"Jika itu berlaku, ia terpulang pada syarikat berkenaan dan setahu saya Kementerian Kewangan tidak membuat (menyediakan) peruntukan untuk memasukkan duit kepada Malaysia Airlines," kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media tempatan yang mendakwa bahawa Khazanah sedang mengkaji untuk menyuntik dana RM5 bilion kepada syarikat itu.