MERSING:Musim tengkujuh dilihat menjadi punca mengapa berlakunya longgokan sampah di kawasan pantai daerah Mersing.

Menyifatkan ia sering berlaku sewaktu musim tengkujuh, para penduduk turut akui ia sedikit sebanyak menjejaskan pandangan.

Penduduk, Satam Adan yang ditemui menafikan longgokan sampah yang mencacatkan pemandangan itu berpunca daripada sikap penduduk yang mengabaikan kebersihan.

“Kalau lihat ombak di kawasan ini, ia memang membawa sampaj sarap. Selepas disapu, bersihkan apa semua, ombak yang datang masih membawa plastik, botol…jadi sampah tersadai di tepi pantai,” katanya.

Sementara itu, Nafisah Mohd Tahar berpandangan orang ramai harus mempunyai sikap ringan tulang untuk memastikan kebersihan pantai terus dipelihara.

“Saya selalu nampak pekerja pembersihan bersihkan kawasan ini. Kadang kala saya nampak sampah pun saya akan kutip masuk ke dalam tong sampah.

“Jadi sesiapa yang lalu di kawasan ini dan nampak sampah, tolong kutip dan masuk bakul sampah, bersihkan kawasan kita ini,” katanya.

Bagi pekerja pembersihan syarikat swasta, Ramli Ahmad yang bertugas di kawasan pelancongan di situ selama 10 tahun berkata, masalah longokan sampah yang ketara jarang berlaku di kawasan pelancongan di situ.

“Musim tengkujuh pun juga puncanya. Sama seperti di Taman Laut Mersing di belakang ini. Angin tiup plastik sampah semua ini. Saya tak nafikan monsun antara sebab,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alwiyah Talib berpandangan, pemasangan perangkap sampah di pintu-pintu air ke sungai utama boleh dilakukan.

Selain itu beliau berkata,tindakan undang-undang yang tegas boleh dikuatkuasakan Majlis Daerah Mersing yang disifatkan lebih berkesan dan bertujuan mendidik orang ramai supaya lebih peka terhadap kebersihan.

“Kita boleh kerjasama dengan pihak Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sebab sekarang ini contoh di Melaka, kita tengok cara mereka bertindak membersih bandar pelancongan itu.

“Saya tidak nampak kenapa kita tak boleh guna apa juga yang telah dilaksanakan di Melaka itu sebagai satu panduan untuk kita menjaga kebersihan pantai di Mersing,” katanya.

Pada Selasa, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan sikap segelintir rakyat di daerah Mersing yang mengabaikan soal kebersihan sehingga tempat-tempat awam dipenuhi sampah sarap.

Sultan Ibrahim bertitah, Mersing merupakan sebuah daerah pelancongan bukan sahaja menjadi tumpuan pelancong dari luar negara, malah kaya dengan keindahan alam semula jadi.

 
Sumber Facebook officialsultanibrahim