Kerajaan bakal mengeluarkan aplikasi mudah alih khas bagi penguna untuk melihat harga hasil pertanian yang dijual di 986 pasar tani seluruh negara secara “real-time” (harga semasa).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, aplikasi Pasar Tani Malaysia itu bakal dilancarkan secara rasmi pada Mac ini.

“Ia akan menunjukkan harga semasa, hari itu supaya pengguna boleh buat perbandingan, aplikasi itu juga akan mengandungi maklumat di mana lokasi pasar tani itu, bagaimana hendak ke sana, waktu operasi, gambar dan paling menarik apa kelebihan pasar tani di sesuatu kawasan itu.

“Orang ramai juga boleh meninggalkan komen mereka melalui aplikasi itu dan membuat undian, ia akan dapat membina satu ranking (kedudukan) di antara pasar tani-pasar tani seluruh negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Pasar Tani Kekal Kampung Gajah, di sini hari ini.

Kata Ahmad Shabery, aplikasi berkenaan bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada pasar tani yang ketika ini dijalankan secara tradisional dan menarik lebih ramai orang untuk berkunjung.

“Sudah tiba masanya pasar tani ini kita menjenamakannya semula kerana ia adalah satu kelebihan atau aspek tradisi yang ada dalam negara kita.

“Ketika ini petani hanya berniaga untuk masyarakat setempat namun aplikasi ini boleh membantu mereka menjadikan ia sebahagian daripada produk pelancongan atau tarikan sesuatu kawasan itu.

“Mercu tanda sesuatu kawasan dahulu orang kaitkan dengan bangunan tinggi tetapi bagi saya satu mercu tanda perlu dibina adalah makanan melalui pasar tani yang kita ada,” jelas beliau lagi.