'Memang ada terbau harum di kawasan berhampiran mangsa ditemui,' akui Ketua Kumpulan Pemandu Arah Gunung Tahan Merapoh, Sabri Zoo, 37 tahun yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Ahmad Tarmizi Ahmad Japli, 30 tahun di kawasan Hutan Simpan Yong,Taman Negara.

Menceritakan pengalaman dia dan sembilan ahli kumpulan itu kepada Sinar Harian hari ini, Sabri mengakui mereka terbau harum berhampiran kawasan mangsa ditemui.

Kumpulan itu antara NGO yang terlibat dalam SAR dan mula menyertai operasi itu pada Sabtu lalu.

"Memang ada terbau harum di kawasan berhampiran mangsa ditemui dan kumpulan kami yang bertanggungjawab membawa dia keluar dari kawasan ditemui ke kem pengkalan 2, semalam (Ahad).

"Dan sepanjang perjalanan selama dua jam bermula 10 pagi ke kem pengkalan,kami berbual-bual dan mangsa menceritakan pengalamannya," katanya lagi.

Ujarnya, ketika sampai di lokasi, mangsa dilihat termenung sambil mencangkung di atas kayu namun tetap ceria walaupun keletihan.

"Dan mengejutkan apabila mangsa merasakan dia baharu dua hari berada di dalam hutan.

"Namun ketika ditanya berapa haribulan semalam, dia dapat menjawab dengan tepat, 26 Ogos," katanya.

Ujar Sabri lagi, dia dan ahli kumpulan itu bersyukur kerana mangsa berjaya ditemui pada hari tersebut.

"Walaupun hanya tidak sampai sehari terlibat dalam operasi itu,kami bersyukur kerana dapat membantu.

"Saya tolak tawaran sebagai pemandu arah sebuah kumpulan ke Gunung Tahan pada hari esok kerana mahu turut serta dalam operasi ini," katanya.