Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motorsikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta.

Kejadian berlaku di laluan Neram-Bandar Cheneh Baru, Kemaman pada lewat petang Ahad.

Dalam nahas kira-kira jam 6.30 petang itu mangsa Muhamad Afiq Iskandar Azizah, 16 tahun, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari Bandar Cheneh Baru menuju ke Felda Neram.

Sejurus tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa dipercayai terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta Perodua Myvi mengakibatkan mangsa tercampak kira-kira sepuluh meter.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman dan diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.