Kerajaan negeri akan memberi imbuhan kepada keluarga yang mempunyai ramai anak, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata kerajaan negeri menggalakkan rakyat menambah bilangan anggota keluarga untuk secara tidak langsung ke arah mencapai status negeri maju dan menambah generasi baru.

"Kita mahu misalnya seorang ibu melahirkan sehingga 12 orang," katanya kepada pemberita ketika melawat kelahiran bayi sempena Hari Kebangsaan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata bentuk imbuhannya akan dikenal pasti.

Beliau berkata Terengganu mempunyai kadar penduduk yang rendah iaitu kira-kira 1.1 juta orang.

Yayasan Pembangunan Keluarga juga telah melaksanakan khidmat kaunseling kepada keluarga yang mempunyai masalah kekeluargaan, katanya.

Kerajaan negeri turut menggalakkan program berbulan madu bagi pasangan yang telah lama berkahwin bagi memperkukuh hubungan suami isteri.