Terengganu mengumumkan cuti peristiwa pada hari Ahad, 30 September ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia bagi meraikan kejayaan kontinjen Terengganu yang dinobatkan juara keseluruhan Sukma 2018 di Perak.

Atas kejayaan itu, kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada pasukan Terengganu kerana memungut 56 pingat emas, 51 pingat perak dan 53 pingat gangsa.

"Kejayaan kontinjen Terengganu merampas kembali gelaran juara Sukma ini melunaskan 'Win Back Mission' yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan.

"Tahniah sekali lagi kepada semua pihak yang terlibat dalam catatan sejarah ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

BACA: Terengganu juara keseluruhan Sukma ke-19 Perak

Menteri Besar turut mengucapkan tahniah kepada Azreen Nabila Alias kerana menerima Anugerah Atlet Wanita Terbaik SUKMA Perak 2018.

"Harapan saya kejayaan ini dapat membawa roh riadah dan menggalakkan aktiviti bersukan kepada rakyat Terengganu dalam menjalani gaya hidup sihat dan sejahtera," katanya.

Selain mengumumkan cuti peristiwa, kerajaan negeri turut mengadakan Majlis Meraikan Juara Sukma 2018 bersama kontinjen atlet dan pegawai pada jam 5.00 petang ini di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu.