Terengganu menjadi negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang akan melaksanakan sistem pengebilan bersepadu bersama Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) bermula Januari tahun hadapan.

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berkata pengebilan bersepadu itu akan bermula pada 1 Jan dengan bil bersepadu pertama akan dikeluarkan pada Mac, melibatkan 20,661 akaun pelanggan bagi premis yang menggunakan perkhidmatan pembetungan jenis bersambung.

"Pelaksanaannya akan dapat meningkatkan pengurusan dan kecekapan industri air dan pembetungan, di samping menyokong hasrat kerajaan ke arah integrasi perkhidmatan air dan pembetungan pada masa akan datang.

Ia memudahkan pengguna membuat pembayaran melalui satu bil sahaja," katanya dalam kenyataan pada Jumaat selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Sistem Pengebilan Bersepadu Perkhidmatan Air dan Pembetungan Negeri Terengganu antara IWK dengan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (Satu), di sini.

Pada majlis yang disaksikan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Dr Xavier Jayakumar dan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, IWK diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya M Narendran, manakala Satu diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Atemin Sulong.

Pada masa yang sama kementerian itu turut berharap berharap agar operator air di negeri-negeri lain dapat sama menjayakan pelaksanaan pengebilan bersepadu itu selepas Terengganu.

Setakat ini IWK telah bekerjasama dengan Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) dan sehingga September tahun ini kadar kutipan caj pembetungan bagi bil IWK bersama JBAL telah mencapai sehingga 91.6 peratus.

-- BERNAMA