Terengganu merekodkan 605 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sejak ia mula dikesan pada 24 Jun sehingga Selasa lalu (31 Julai).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata ia meningkat 210 peratus berbanding 195 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Daripada 605 kes ini, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 151 kes diikuti Marang (102 kes), Dungun (92), Setiu (83), Kuala Nerus (64), Besut (45), Hulu Terengganu (43) dan Kemaman (25).

"Sepanjang tempoh itu juga, 10 wabak HFMD dilaporkan di Terengganu iaitu empat di Kuala Terengganu, Setiu (dua), Marang (dua) dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyakit HFMD paling banyak dikesan kalangan kanak-kanak berumur lingkungan satu hingga enam tahun iaitu 543 kes diikuti bawah umur setahun (47), tujuh hingga 12 tahun (13 kes) dan masing-masing satu untuk kategori umur 13 hingga 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Dr Alias berkata kes HFMD dikesan paling banyak berlaku di rumah persendirian iaitu 328 kes diikuti kanak-kanak yang tinggal di taska (112), rumah pengasuh (100 kes), tadika (24), prasekolah (15), masing-masing 11 kes di Sekolah Kebangsaan dan Tadika PASTI, tabika (tiga) dan madrasah (satu).

"Pelbagai aktiviti dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk membendung penyakit HFMD termasuk melakukan pemeriksaan di premis-premis iaitu di rumah kediaman (483), taska (43), tadika (15), tabika (tiga), sekolah rendah (sembilan) dan lain-lain (17).

"Jabatan turut menjalankan aktiviti disinfeksi di premis-premis tersebut selain mengambil 20 sampel untuk dianalisis dan memberikan pendidikan kesihatan dengan mengedarkan risalah, ceramah dan nasihat kepada keluarga pesakit ini," katanya.

-- BERNAMA