Terengganu terus merekodkan peningkatan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) iaitu sebanyak 772 kes setakat Isnin (13 Ogos) sejak kes pertama mula dikesan pada 24 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata ia meningkat 274.8 peratus berbanding 206 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Daripada 772 kes ini, daerah Kuala Terengganu mencatatkan kes tertinggi iaitu 200 kes diikuti Marang (124 kes), Dungun (108), Setiu (96), Kuala Nerus (88), Besut (72), Hulu Terengganu (52) dan Kemaman (32).

"Sepanjang tempoh itu juga, 15 wabak HFMD dilaporkan di Terengganu iaitu lima di Kuala Terengganu, Setiu (dua), Marang (empat), Kuala Nerus (dua) dan masing-masing satu di Hulu Terengganu dan Besut," katanya kepada Bernama hari ini.

Penyakit HFMD paling banyak dikesan di kalangan kanak-kanak berumur lingkungan satu hingga enam tahun iaitu 679 kes diikuti bawah umur setahun (64), tujuh hingga 12 tahun (27 kes) dan masing-masing satu untuk kategori umur 13 hingga 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Dr Alias berkata kes HFMD dikesan paling banyak berlaku di rumah persendirian iaitu 422 kes diikuti kanak-kanak yang tinggal di taska (128), rumah pengasuh (112 kes), tadika (41), prasekolah (24), sekolah rendah (24), Tadika PASTI (17), tabika (tiga) dan madrasah (satu).

"Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah melakukan pelbagai aktiviti untuk mencegah penyakit ini daripada terus merebak, termasuk melakukan pemeriksaan di premis seperti rumah kediaman, taska, tadika, tabika serta sekolah rendah dan setakat ini semua premis yang diarah tutup sebelum ini sudah pun beroperasi seperti biasa.

"Jabatan turut menjalankan aktiviti disinfeksi di premis-premis tersebut selain mengambil 20 sampel untuk dianalisis dan memberikan pendidikan kesihatan dengan mengedarkan risalah, ceramah dan nasihat kepada keluarga pesakit ini," katanya.

-- BERNAMA