Padah memukul isteri menggunakan topi keledar seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh, Mohd Shaiful Afeezan Mohd Aji, 36, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Pertuduhan dilakukan mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya Norizan hussin, 33 tahun dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar sehingga mengalami kecederaan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah di Kampung Lubuk Batu, Felda Bukit Bading, Ajil, Hulu Terengganu pada 28 Oktober lalu sekitar jam 9 malam.

Berdasarkan pertuduhan, telah berlaku pertengkaran antara mangsa dan suaminya kerana tertuduh mahu membeli dadah.

Bagaimanapun mangsa enggan memberikan duit kepada tertuduh dan tertuduh telah bertindak memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar dan seterusnya menyepak bahagian belakang badan pengadu.

Akibat perbuatan itu, mangsa mengalami sakit-sakit di bahagian belakang badan dan kepala serta menyebabkan kedua belah mata lebam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa.