Perhimpunan Bersih 4 telah menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mengamalkan demokrasi sihat, ujar Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

"Seluruh dunia tahu, jadi saya mengucapkan terima kasih pada Bersih kerana mereka iklankan demokrasi sihat di Malaysia,” kata beliau dengan nada sinis sepertimana dipetik daripada laporan portal berita The Star Online.

Perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 29 dan 30 Ogos lalu telah mendapat liputan meluas daripada pelbagai agensi berita tempatan dan antarabangsa seperti CNN, Aljazeera serta BBC.

“Dari segi pelancongan dan pandangan luar negara, ia bagus sebab menunjukkan demokrasi sihat negara kita,” ujar Nazri dalam satu sidang media sempena pelancaran Festival Kraf Antarabangsa 2015 di ibu negara.

Nazri, yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas, menyarankan agar perhimpunan tersebut diadakan setiap tahun.

Ditanya mengenai kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perhimpunan itu, Nazri berkata, bekas Perdana Menteri itu cuma mempraktikkan hak demokrasi beliau.

“Beliau telah berubah. Sebelum ini beliau kata demonstrasi bukan budaya kita, tetapi sekarang ketika beliau sudah tua, baru disedari bahawa ia adalah satu budaya baharu dan mahu menyertainya,” katanya.