Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan seluruh rakyat negara ini kerana mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Jelas beliau, pematuhan tersebut telah menyaksikan Malaysia berjaya membendung penularan COVID-19 dan mencatatkan 80 peratus kes sembuh sepenuhnya.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di atas pengorbanan dan komitmen yang dicurahkan selama ini.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dalam mematuhi SOP (prosedur operasi standard) ketika menjalani rutin harian sepanjang PKP dan PKPB dilaksanakan," katanya dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek, pada Jumaat.

Muhyiddin menambah, sekiranya pematuhan seperti itu terus diamalkan serta bilangan kes COVID-19 di negara ini terkawal, beliau yakin sektor-sektor yang masih dilarang akan dapat dibuka dengan lebih cepat.