Tiga individu termasuk dua beradik ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki bersubahat meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM18,000, pada Jumaat.

Menurut sumber, seorang pegawai wanita berusia 37 tahun yang berkhidmat dengan sebuah agensi kerajaan di Selangor ditahan di Sungkai, Perak kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Manakala adiknya dan seorang lagi suspek yang masing-masing berusia 27 dan 43 tahun ditahan di Pejabat SPRM Selangor kira-kira pukul 5 petang selepas hadir memberi keterangan.

Menurut sumber lagi, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah bersubahat meminta dan menerima wang suapan daripada sebuah syarikat sebagai balasan dan dorongan membantu untuk mendapatkan kontrak pembekalan di jabatan kerajaan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam esok untuk mendapatkan perintah reman.