Lelaki yang menerima bungkusan tisu basah daripada Lazada, selepas membuat pesanan untuk membeli telefon pintar, kini sudah menerima kembali wang yang dibayarnya.

Menurut lelaki yang enggan dikenali itu, kes berkenaan dianggap selesai selepas syarikat jualan atas talian tersebut memohon maaf dan memulangkan wangnya pada Khamis.

"Lazada telah memulangkan kembali wang saya dua hari lepas," kata mangsa kepada Astro AWANI menerusi satu teks mesej, hari ini.

Katanya, Ketua Pegawai Komersial Lazada, Christophe Lejeune, dan stafnya telah bertemu dengannya pada 25 Februari lalu bagi memohon maaf dan menjelaskan isu berkenaan dengan lebih lanjut.

FB
Sebelum ini dilaporkan, seorang lelaki membuat belian atas talian untuk satu telefon pintar jenama Samsung Galaxy Note 8 daripada seorang peniaga di laman Lazada pada 12 Disember tahun lalu.

VIDEO: Beli telefon pintar RM3,219, tapi dapat tisu basah!

Setelah membuat pembayaran sebanyak RM3,219 melalui kad kredit miliknya, dia bagaimanapun terkejut apabila kemudiannya hanya menerima satu bungkusan yang mengandungi dua paket tisu basah.

Bungkusan itu dihantar sendiri oleh pihak Lazada.