Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkemungkinan akan memakai tanjak diraja yang pernah dipakai Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Sultan Abu Bakar sempena Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 nanti.

Tanjak berkenaan sebelum ini pernah dipakai Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ketika Hari Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1979.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, Tunku Azizah bertitah baginda berhasrat melihat Yang di-Pertuan Agong memakai tanjak berkenaan sempena pertabalan nanti.

Tunku Azizah bertitah tanjak diraja itu sudah lama dicari oleh baginda dan menemukannya di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

"Selama ini saya menyimpan muskat yang pernah dipakai oleh Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah dan ayahanda baginda, Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ketika mereka masing-masing ditabalkan menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dan Kelapan.

"Muskat itu disimpan untuk dipakai Al-Sultan Abdullah semasa pertabalan Seri Paduka sebagai ketua negara hujung bulan ini, namun busana berkenaan tidak muat dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Sepanjang tahun ini juga saya bertanyakan di mana tanjak ini. Muzium ada menyimpan muskat tetapi tiada yang peduli tentang tanjak.

"Hari ini saya ke Istana Abu Bakar di sini dan jumpa tanjak yang saya mahu. Di situ juga ada sampin dan bengkung," titah baginda ketika berangkat ke Muzium Sultan Abu Bakar di sini hari ini

Sebelum itu, keberangkatan Seri Paduka itu mengejutkan pengamal media yang berada di situ untuk menemu bual rakan rapat Raja Permaisuri Agong sempena istiadat pertabalan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Tunku Azizah bertitah baginda akan membawa pulang tanjak berkenaan ke Istana Negara selepas ini.

"Jika muat, Tuanku pakailah kalau Tuanku sudi pakai. Saya akan minta Tuanku pakai untuk ambil berkat,” titah Seri Paduka