"Tiada makna sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi kami sejak tahun lepas kerana rumah kami sering dinaiki air akibat banjir pada setiap kali hari raya sejak tahun lepas," kata Rashidah Darus, 31.

Ibu kepada enam anak itu antara 65 penduduk daripada 16 keluarga yang terjejas banjir di daerah Hilir Perak yang masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong di sini pada Ahad.

Rashidah berkata tiada pakaian baharu dikenakan mahupun juadah hari raya dapat disediakan kerana rumahnya di Lorong Mesra, Kampung Batu 7 1/2 yang terletak kira-kira dua kilometer dari PPS itu mula dimasuki air akibat hujan lebat sejak malam hari raya pertama.

"Kami sudah beli baju raya tetapi tidak dapat digunakan dan kuih raya juga sudah dibeli tetapi disimpan sahaja.

"Saya buntu kerana barangan elektrik seperti peti ais dan mesin basuh yang baru dibeli selepas barangan yang lama rosak akibat rumah kami dimasuki air pada tahun lalu kembali rosak akibat musibah yang sama pada kali ini," katanya ketika ditemui Bernama di PPS itu hari ini.

Kesemua penduduk yang ditempatkan di PPS SK Changkat Jong kebanyakannya penduduk dari Kampung Batu 7 1/2 berikutan kawasan itu masih dilanda banjir. - Bernama

Beliau bersama suami dan anak-anak berusia antara dua bulan sehingga 14 tahun dipindahkan ke pusat pemindahan itu semalam selepas paras air semakin tinggi di kawasan perumahannya sehingga mencecah paras bawah pinggang.

Katanya rumah yang didiaminya sejak lebih 20 tahun itu sering dilanda banjir apabila hujan lebat dan menyebabkan kerosakan teruk terutamanya pada permukaan lantai.

Sementara itu, seorang warga emas Aisah Kasim, 65, berkata beliau berasa sedih kerana tidak dapat menyambut hari raya bersama keempat-empat anaknya yang pulang ke kampung dari ibu negara.

"Bagaimanapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan memberi kami tempat pemindahan sementara dan keperluan asas seperti makanan.

"Sejak dahulu, saya sudah biasa menghadapi banjir di kawasan ini...dahulu nasib kami lebih teruk kerana tiada bantuan yang diberikan seperti ini," katanya.

Tinjauan Bernama mendapati kesemua penduduk yang ditempatkan di PPS itu pada hari ini kebanyakannya penduduk dari Kampung Batu 7 1/2 berikutan kawasan itu masih dilanda banjir.

Sementara penduduk dari Kampung Batu 8 dan Kampung Batu 9 kebanyakannya sudah pulang ke rumah masing-masing kerana banjir di kawasan berkenaan sudah kembali surut.

Jumlah penduduk terjejas banjir di daerah Hilir Perak yang ditempatkan di PPS itu berkurang daripada 127 orang malam tadi kepada 65 orang setakat pukul 1 tengah hari ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji berkata jumlah mangsa banjir di daerah Kampar pula kekal seperti semalam iaitu 14 orang terdiri daripada dua buah keluarga.

"Semua mangsa dari Kampung Cabang Dua, Kuala Dipang masih ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Dipang namun dijangka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat," katanya.

Katanya tinjauan mendapati air telah mula surut di kawasan luar dan di dalam rumah penduduk di Kampung Cabang Dua namun pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan kawasan perumahan itu selamat untuk diduduki.

-- BERNAMA