MELAKA: Zoo Melaka memerlukan kira-kira RM600,000 sebulan bagi menampung kos operasi keseluruhan pusat pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan itu yang terpaksa ditutup sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan COVID-19.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Shadan Othman berkata daripada jumlah itu sebanyak RM250,000 diperlukan untuk membeli makanan bagi 550 haiwan daripada 250 spesies yang ditempatkan di zoo berkenaan.

"Zoo Melaka memerlukan makanan berupa daging ayam atau lembu sekurang-kurangnya 250 kilogram sebulan, tidak termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran.

"Memang terjejas kerana Zoo Melaka kini dah hampir enam bulan tidak dapat beroperasi... memang rugi namun MPHTJ terpaksa menampung kos berkenaan khususnya pembelian makanan haiwan selain mendapat sumbangan daripada badan bukan kerajaan, syarikat swasta, kerajaan dan individu bagi membantu kelangsungan pusat ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin: Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan yang turut dihadiri Timbalan Menteri MAFI Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ahli Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) Datuk Ghazale Muhamad.

Mengulas lanjut, Shadan berkata diet makanan bagi haiwan berkenaan tidak boleh dicatu sewenang-wenangnya bagi memastikan haiwan tersebut mendapat nutrisi diperlukan mengikut saranan pegawai veterinar yang memantau tahap kesihatan haiwan di zoo tersebut.

Beliau berkata pihaknya juga telah mewujudkan tabung sumbangan untuk membantu kelangsungan operasi Zoo Melaka bermula PKP 1.0 tahun lepas dengan jumlah kutipan sebanyak RM200,000 sehingga semalam.

"Kita mengalu-alukan sumbangan daripada orang ramai untuk membantu meringankan beban memandangkan Zoo Melaka tidak dapat dibuka.

"Pusat ini bukan untuk mengaut keuntungan tetapi berperanan sebagai pusat pembelajaran, pemeliharaan dan pemuliharan haiwan yang hampir pupus," katanya.

Sementara itu, Ahmad Hamzah berkata MAFI menerusi FAMA telah menyalurkan sebanyak 20 tan metrik pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai kira-kira RM45,000 kepada Zoo Melaka dalam tempoh pelaksanaan PKP 1.0 hingga PKP 3.0.

Beliau berkata sumbangan yang disalurkan menerusi Program MAFI Prihatin di bawah Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan itu bertujuan memastikan bekalan makanan haiwan di Zoo Melaka tidak terjejas agar kebajikan haiwan terpelihara.

-- BERNAMA