Terjun laut dan berenang ke pelantar minyak bagi menggelakkan diri daripada ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Itulah tindakan nekad 16 nelayan warga Vietnam ketika di kesan merompak hasil laut negara kira-kira jam 9.57 pagi pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata ketika dikesan pada kedudukan 108 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, nelayan terbabit sedang leka menangkap ikan.

Menurut Rashidilhadi menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot telah mengubah haluan dan memecut bot menghala ke arah pelantar tersebut.

Jelasnya mereka juga berenang kira-kira 50 meter untuk memanjat dan melarikan diri ke atas pelantar.

“Apabila dihampiri, bot tersebut telah cuba melarikan diri dan difahamkan kesemua awak-awak dan tekong telah terjun ke laut dan berenang ke pelantar minyak Bargading dan cuba untuk menaikinya.

“(Sementara itu) bot dibiarkan hanyut sebelum diselamatkan kapal ronda Maritim. Kesemua awak-awak dan tekong seramai 16 orang ini berjaya ditangkap ketika cuba menaiki pelantar minyak tersebut,” ujar Rashidilhadi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan kesemua mereka yang berusia antara 15 hingga 47 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Selain itu pihaknya turut merampas hasil tangkapan, bot serta peralatan menangkap ikan yang bernilai hampir RM1 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.