Seorang nelayan warga Kemboja bertindak terjun ke dalam laut pada Sabtu, mendakwa telah diugut tembak oleh tekong bot.

Mangsa dikenali sebagai Daa yang bekerja dengan bot negara Thailand, dipercayai terjun dari bot yang dinaikinya kira-kira empat batu nautika dari Pelantar Angsi, Kemaman.

Pengarah Maritim DM 9 Kuala Terengganu, Kapten Maritim Rahim Ramli berkata, mangsa ditemui kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu selepas terapung selama sehari.

Menurutnya, nelayan itu berpaut kepada tong ikan sepanjang terapung di perairan Kemaman.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke jeti Pangkalan Maritim Kemaman seterusnya dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kerana melecur di kulit akibat kesan panas matahari.

"Setelah selesai proses pemeriksaan perubatan, mangsa diserahkan kepada pihak Imigresen untuk proses dokumentasi, yang menyerahkan ke pihak kedutaan Kemboja untuk urusan penghantaran pulang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Isnin.

Rahim berkata, pihaknya sentiasa bersedia tanpa mengira waktu bagi melakukan operasi menyelamat dan membantu sesiapa saja terutama komuniti di laut yang mengalami kemalangan serta musibah di perairan negara.

Jelasnya sebarang maklumat atau salah laku yang berlaku di perairan negara boleh disalurkan menerusi talian MERS 999 ataupun 09-6224357 (Pusat Operasi) Daerah Maritim 9 Kuala Terengganu.