Seorang peniaga kayu gaharu terpaksa melalui mimpi ngeri apabila terkandas dan dipenjarakan di Filipina akibat ditipu orang tengah yang dikenali menerusi laman sosial Facebook.

Beliau, yang hanya mahu dikenali sebagai Zim (lelaki), 33 tahun, juga mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM80,000 selepas membuat pembelian kayu gaharu untuk dibawa pulang ke Malaysia namun ditangkap pihak berkuasa negara itu.

Menurut Zim, dia dan dua rakan perniagaannya ke Mindanao bagi urusan membeli kayu gaharu pada 3 Mei lepas setelah berurusan dengan seorang lelaki menerusi akaun Noel Patalihug di Facebook.

"Lelaki itu mendakwa bahawa dirinya orang tengah dan mengenali penjual kayu gaharu. Selepas urusan imigresen saya dibawa berjumpa penjual itu dan membeli 15 kilogram kayu gaharu.

"Saya membuat dua kali pembelian secara tunai berjumlah RM80,000," katanya pada sidang media di sini hari ini, yang disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh, yang juga Anggota Parlimen Kuantan.

Zim berkata, dia menyangka semua urusan berjalan lancar dan sudah bersedia untuk pulang apabila hotel tempat beliau bermalam diserbu pihak berkuasa Filipina pada 12 Mei, menyebabkan dia bersama dua rakannya ditahan.

Namun mereka dibebaskan selepas berlaku campur tangan kedutaan Malaysia di Filipina selain didapati tidak bersalah oleh mahkamah negara itu.

"Selepas dua minggu ditahan kami dibebaskan tetapi masih tidak dapat pulang kerana perlu ke mahkamah untuk dibuktikan, yang akan mengambil masa sebulan.

"Saya terkilan kerana tujuan ke sana untuk perniagaan namun diperdaya lelaki berkenaan yang memaklumkan pembelian kayu gaharu tidak salah di sisi undang-undang dan telah mendapat kelulusan pejabat hutan Filipina," katanya.

Zim menambah, mereka tiba di tanah air pada 1 Julai lepas dengan bantuan kedutaan Malaysia.

Sementara itu, Fuziah berkata pihaknya memperoleh maklumat mengenai penahanan Zim pada 22 Mei daripada ibu mangsa sebelum berusaha menghubungi kedutaan Malaysia di sana.

Beliau juga berharap kejadian itu dijadikan iktibar bagi mereka yang lain supaya lebih berhati-hati apabila berurusan terutama dengan individu yang dikenali menerusi laman sosial.

"Mereka yang ingin menjalankan urusan perniagaan atau apa sahaja urusan di luar negara dinasihat menyemak dengan pihak berkuasa di sini dan kedutaan terlebih dahulu supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.

-- BERNAMA