"Hari ini sepatutnya saya bawa anak saya beli baju raya namun semuanya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia malam tadi,".

Demikian luahan bapa kepada Muhammad Sabirin Khasim, 5 tahun yang maut dilanggar sebuah lori ikan dalam kemalangan di Taman Sahabat, Teluk Kumbar malam tadi.

Menurut Mohd Khasim Md Jusoh, 28 tahun, dia terkilan kerana tidak sempat menunaikan permintaan anak sulungnya itu yang bersungguh- sungguh memintanya membeli sepasang baju Melayu bagi meraikan Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi.

Mohd Khasim berkata, dia dan isterinya, Sakinah Abdul Kholim, 22 tahun telah merancang untuk membeli kelengkapan Aidilfitri hari ini kerana kedua-duanya mengambil cuti.

"Saya rasa sedih dan terkilan sebab kemalangan. Kalau anak saya sakit tak apa la. Sebenarnya sudah belikan dia baju raya sepasang dan dia minta lagi sepasang hari ini.

"Selain baju, arwah juga mahu beg silang dan kasut. Namun saya reda kerana Allah sayang dia," katanya ketika ditemui pemberita.

kemalangan, baju raya, Bayan lepas, Pulau Pinang

Menceritakan kembali kejadian, Mohd Khasim yang ditemui di Teluk Kumbar berkata, dia amat terkejut dengan insiden yang menimpa anak sulungnya itu.

Menurutnya dia yang baru selesai solat Isyak bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja diberitahu bahawa anaknya terlibat dalam kemalangan.

"Sebaik sahaja tiba di lokasi, saya melihat arwah dipangkuan abang iparnya dalam keadaan berlumuran darah dan tidak dapat diselamatkan kerana meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau," katanya.

Jenazah Muhamad Sabirin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Maqbul, Teluk Kumbar pada jam 10 pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa bersama beberapa kanak-kanak lain dipercayai sedang bermain kejar-mengejar di tepi jalan berkenaan.

Sebuah lori membawa muatan ikan yang melalui jalan tersebut gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang secara tiba-tiba berlari ke tengah jalan.