Gara-gara terleka semasa menggoreng telur ayam, lima buah rumah musnah dalam satu kebakaran sekitar jam 12.45 pagi tadi di Kampung Terengganu di sini.

Kejadian berkenaan menyebabkan tiga keluarga hilang tempat tinggal serta harta benda musnah dalam kebakaran tersebut ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Menurut bapa salah seorang mangsa kebakaran, Sukardi Siran, 62 tahun, ketika kejadian dia sedang berehat selepas pulang daripada berniaga sate di kedai makan.


"Kemudian saya mendengar anak lelaki saya Mohd Fariq Sukardi, 26 tahun, yang tinggal di hadapan rumah saya menjerit tolong api rumah terbakar, lalu saya pun keluar.

"Apabila saya keluar saya lihat rumah anak saya sedang terbakar begitu juga empat buah rumah lagi dan apa yang saya lakukan adalah memastikan dia, menantu dan cucu saya selamat," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Sukardi, kejadian kebakaran dikatakan berpunca daripada kecuaian salah seorang penghuni daripada lima buah rumah yang terbakar tersebut.

"Pemilik rumah itu berusia 40an dan dia beritahu dia ada menggoreng telur ayam kemudian terlupa sedar-sedar api sudah marak," katanya.