Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah kerajaan akan terus melaksanakan langkah-langkah bagi meringankan beban pekebun-pekebun kecil ekoran kejatuhan harga komoditi sejak kebelakangan ini.

Titahnya, ia termasuk mempergiatkan lagi penyelidikan dan pemasaran industri hiliran agrikomoditi, penggunaan bio bahan api dan penerokaan pasaran-pasaran baharu.

“Serta bekerjasama dengan negara-negara pengeluar lain bagi menstabilkan harga komoditi berkenaan di pasaran antarabangsa,” titah Al-Sultan Abdullah.


Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyampaikan titah diraja selepas merasmikan istiadat pembukaan persidangan Dewan Rakyat Penggal Kedua, Parlimen Ke-14 pada Isnin.

Titahnya, di samping itu, pekebun-pekebun kecil di seluruh negara disaran mempelbagaikan tanaman mereka serta meneroka peluang tanaman-tanaman baharu yang dapat memberikan pulangan yang lebih baik agar kesan kejatuhan harga komoditi ini dapat dikurangkan.

“Beta juga ingin menyeru kerajaan untuk mengambil langkah-langkah strategik bagi menangani halangan perdagangan ke atas minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit khususnya oleh negara-negara Eropah.

“Kerajaan beta akan terus membangunkan sektor agromakanan bukan setakat untuk menjamin bekalan makanan malah untuk meningkatkan eksport negara,” titah baginda

Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan sukacita apabila negara kini dilihat sebagai model dalam pembangunan industri halal.

“Ia merupakan antara komponen penyumbang kepada ekonomi dengan nilai eksport berjumlah RM43.4 bilion. Dalam hal ini, beta percaya pelan induk industri halal akan terus memperkukuhkan industri halal negara di peringkat nasional dan antarabangsa,” titahnya.