Lim Guan Eng hari ini menolak pelawaan debat Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Katanya, beliau tidak akan merendahkan martabat jawatan Setiausaha Agung DAP yang disandangnya sejak 2005 itu untuk berdebat dengan Wee yang merupakan pemimpin nombor dua MCA .

"Kami tak mahu siapa-siapa suka boleh berbahas, tak bermakna. Itu mesti sepadan ataupun selaras dengan jawatan yang dipegang. Nombor satu mesti lawan nombor satu, barulah patut. Kalau macam ini saya boleh cabar perdana menteri untuk berbahas.

"Tak boleh macam ini. Sepatutnya yang berbahas dengan perdana menteri ialah bakal atau calon perdana menteri dari Pakatan Harapan iaitu bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Takkan saya nak berbahas dengan Datuk Seri Najib Razak. Hormatlah jawatan masing-masing," katanya pada satu sidang media di sini.

Wee dalam kenyataannya 5 Jan lepas, mencabar Lim untuk berbahas mengenai isu terowong dasar laut di negeri ini.

Lim berkata jika mahu berbahas, cabaran itu seharusnya datang daripada pemimpin tertinggi parti itu iaitu Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan pihaknya akan mempertimbangkan perkara itu dengan serius.

"Ini baru munasabah (cabaran daripada presiden MCA). Sekiranya Wee tak hormat jawatan presiden MCA dalam partinya, itu masalahnya.

"Tetapi saya tetap akan hormati jawatan setiausaha agung dalam DAP dan saya tidak akan merendahkan martabat jawatan setiausaha agung untuk berbahas dengan seorang yang nombor dua dalam MCA," katanya.

Lim berkata, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek juga pernah mengemukakan cabaran debat atas kapasiti sebagai Presiden MCA dan untuk kali ini, cabaran sama perlu dilakukan Liow dan bukannya Wee.

Wee mencadangkan debat itu berikutan pendedahan oleh kontraktor pembina projek terowong, Zenith Consortium Sdn Bhd telah membayar RM22 juta kepada dua orang individu sebagai rasuah untuk menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap projek mega berkenaan.