Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan terhadap pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Dr Zamihan Mat Zin berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman.

"Itu (siasatan terhadap Zamihan) di bawah pihak polis, kita serahkan kepada pihak berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM2 juta, kepada 88 badan bukan kerajaan (NGO) Islam, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status Zamihan yang ditahan reman selama dua hari bermula Khamis lepas, berhubung ceramahnya yang didakwa berbaur perkauman dan mengkritik institusi diraja di sebuah masjid di Shah Alam pada 8 Okt lepas.

Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lepas.

Ditanya mengenai titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam supaya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menarik balik tauliah mengajar Zamihan serta membatalkan keanggotaannya dalam Jawatankuasa Tauliah negeri itu, Jamil Khir secara ringkas berkata hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Mengenai permohonan untuk menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkaitan isu Zamihan, Jamil Khir berkata surat telah dihantar dan buat masa ini beliau masih belum menerima titah untuk menghadap.

"Insya-Allah apabila Tuanku (Sultan Ibrahim) titah, kita akan menghadap," kata Jamil Khir.

Pada Sabtu lepas, Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan berkata, beliau dan Jamil Khir akan segera memohon perkenan untuk menghadap Sultan Johor berkaitan isu Zamihan yang menyampaikan ceramah yang mengkritik tindakan Sultan Johor susulan isu dobi mesra Muslim yang menjadi kontroversi baru-baru ini.

-- BERNAMA