Cubaan tiga penjenayah untuk memecah masuk kediaman di Seksyen 7, Shah Alam gagal selepas terserempak dengan sepasukan anggota polis.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 3.40 pagi, dua daripada suspek ditembak mati manakala seorang lagi sempat melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pasukannya sebelum itu telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai cubaan pecah rumah di Seksyen 7.

Menurutnya, suspek cuba melawan pasukan polis dengan menggunakan senjata parang yang memaksa pihak polis untuk melepaskan tembakan.

"Pemeriksaan pada mayat suspek mendapati ada sembilan celoret dan parang serta peralatan untuk pecah rumah," katanya.

Tambah beliau, pihaknya mendapati geng ini dianggotai warga asing yang mensasarkan perumahan di sepanjang lebuh raya terutamanya di Seksyen 6,7 dan 8.

"Kumpulan ini dipercayai memilih mangsa secara rawak," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh dan juga Seksyen 457 kanun sama iaitu pecah rumah.