Masalah yang dihadapi 17 kakiitangan Madrasah Islahiah Diniah, Baling atau lebih dikenali sebagai Madrasah Memali yang tidak menerima gaji hampir dua bulan akibat penutupan maahad tahfiz persendirian terbabit susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya menemui jalan penyelesaian.

Pendekatan yang diambil Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling untuk tampil menyampaikan sumbangan bernilai RM20,000 dilihat dapat memberi nafas baru kepada staf yang terlibat khususnya dalam mengharungi bulan Ramadan.

Menurut Pengerusi Ahli Lembaga Tadbir Madrasah Memali, Muhammad Yusof Hussin, masalah terbabit berlaku selepas pihak pengurusan sekolah mengambil keputusan untuk tidak mengutip bayaran daripada kesemua pelajar memandangkan tiada sesi persekolahan diadakan sejak cuti semester pertama awal Mac lalu.

Tegasnya, susulan itu, kewangan pentadbiran madrasah terbabit mulai bermasalah dan itu merupakan kali pertama berlaku sejak penubuhan sekolah terbabit sejak 35 tahun lalu.

"Madrasah ini terhenti kegiatannya kerana pengajian dihentikan kerana PKP sejak bulan mac sehingga sekarang, kerana itu segala kegiatan, semua aktiviti di madrasah ini terputus sama sekali dan tidak ada dana yang masuk seperti biasanya di Madrasah Memali sehinggakan pada bulan ini kami menghadapi masalah untuk membayar gaji guru dan kaki tangan seramai 17 orang yang berjumlah RM17,500 bulan ini," kata Muhammad Yusof.

Bagi Pengetua Madrasah Memali, Yusof Che Mit pula, rata-rata staf kini menzahirkan rasa lega selepas menerima pembayaran terbabit yang sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjalani bulan Ramadan..

Dalam masa sama, beliau berkata, beberapa alternatif lain turut diteliti dalam memastikan kedudukan kewangan pusat pengajian terbabit kembali kukuh memandangkan penguatkuasaan PKP telah dilanjutkan sehingga 14 Mei ini.

Tambah Yusof, pihak pentadbiran sekolah sentiasa berharap situasi dalam negara khususnya dalam mendepani pandemik COVID19 bertambah baik sekali gus memberi kelegaan dalam sumber kewangan pusat pengajian terbabit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang turun menyampaikan bantuan kewangan terbabit menyifatkan pendekatan yang diambil itu menjadi antara tanggungjawab yang perlu dipikul Pusat Khidmat Ahli Parlimen Baling dalam memastikan tidak ada golongan yang tercicir dalam daerah terbabit.

Beliau berharap lebih ramai badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau mana mana pihak turut membantu pusat pengajian terbabit khususnya melalui akaun media sosial Facebook Maahad Memali terutama ketika waktu sukar sebegini.