Tutup

Tesco, PPZ MAIWP kerjasama sumbang bantuan menerusi zakat wakalah

Tesco, PPZ MAIWP kerjasama sumbang bantuan menerusi zakat wakalah
Tesco Malaysia mempergiatkan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) mereka kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan. - Foto PPZ MAIWP / Amirul Roshidi
KUALA LUMPUR: Sempena bulan Ramadan yang penuh barakah, TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco Malaysia) mempergiatkan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) mereka kepada golongan asnaf yang memerlukan bantuan.

Namun, Tesco Malaysia membawa kelainan menerusi Program Turun Padang kerjasama dengan Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Syarikat runcit antarabangsa itu menggunakan sebahagian daripada wang wakalah majikan Tesco, iaitu potongan gaji zakat kakitangan Tesco bagi menyantuni 12 keluarga asnaf melibatkan 40 orang isi rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak. - Foto PPZ MAIWP / Amirul Roshidi

Ia apabila syarikat runcit antarabangsa itu menggunakan sebahagian daripada wang wakalah majikan Tesco, iaitu potongan gaji zakat kakitangan Tesco bagi menyantuni 12 keluarga asnaf melibatkan 40 orang isi rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini.
Pengurus Besar Tesco Extra Selayang, Khayrul Niddar Ahmad berkata konsep wakalah itu adalah dengan mengembalikan semula wang zakat daripada potongan zakat gaji pekerja-pekerja Tesco bagi membantu golongan asnaf.


“Tesco dalam perbincangan untuk memadankan penerima zakat PPZ yang merupakan gologan asnaf, kepada peluang pekerjaan di pasaraya-pasaraya Tesco di sekitar kawasan KL-Lembah Klang. Diharapkan initiatif ini dapat membantu golongan asnaf untuk mendapatkan pendapatan untuk menyara diri serta keluarga.
“Pada bulan Ramadan yang bermakna ini, Tesco masih meneruskan Program Bantuan Makanan Tesco dengan menderma sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual kepada golongan yang memerlukan. Selain itu, kami ingin menjemput para pelanggan Tesco untuk turut menyertai kami untuk membantu mereka yang memerlukan melalui Kotak Makanan Amal Tesco,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada program tersebut pada Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff (empat, kanan) berkata kerjasama antara PPZ MAIWP dan Baitulmal MAIWP memudahkan syarikat-syarikat mencari golongan sasar untuk disalurkan bantuan. - Foto PPZ MAIWP / Amirul Roshidi

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata kerjasama antara PPZ MAIWP dan Baitulmal MAIWP memudahkan syarikat-syarikat mencari golongan sasar untuk disalurkan bantuan.

“Tesco merupakan penerima wakalah kita yang pertama dalam melaksanakan program strategik seperti ini. Sebenarnya di luar sana ada lebih 100 lagi syarikat-syarikat yang menerima wakalah.

“Cuma ini sebagai permulaan kerana apa yang berlaku sekarang ini, kadang kala ada syarikat-syarikat tersebut tidak tahu bagaimana untuk mencari asnaf, mengagihkan bantuan dan sebagainya,” jelasnya.

Bagi pasangan asnaf, Zainun Drahman dan suami, Mohd Noor Ismail, mereka bersyukur dengan bantuan yang diberi.

Pasangan itu yang menanggung enam anak mereka dengan berniaga roti canai dan murtabak menyifatkan bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Kalau bulan puasa itu saya dan suami meniaga murtabak di pasar Ramadan tapi kalau hari biasa, kami jual roti canai, air, nasi lemak.. macam itu la dekat simpang masuk Desa Rejang ini.

“Kalau hantar bantuan ke rumah macam ini taka da lagi rasanya. Ini pertama kali saya dapat bantuan macam ini,” luahnya kepada Astro AWANI.

Pengurus Besar Tesco Extra Selayang, Khayrul Niddar Ahmad (tiga, kanan) berkata konsep wakalah itu adalah dengan mengembalikan semula wang zakat daripada potongan zakat gaji pekerja-pekerja Tesco bagi membantu golongan asnaf. - Foto PPZ MAIWP / Amirul Roshidi

Berbeza pula dengan Zanah Salim. Dia ibarat hilang punca pendapatan apabila suaminya, Muha'ad Khirudin Jako yang berkhidmat sebagai anggota RELA kini disahkan mengalami masalah saluran jantung tersumbat.

“Jadi akak terpaksa ambil alih tugas-tugas dia semua. Jadi akak sekarang bekerja dengan tolong kawan-kawan memasak. Bantuan hari ini dapatlah membantu meringankan beban keluarga lah. Jadi akak terima kasih banyak-banyak lah,” luahnya sambal menitiskan air mata yang tidak dapat menahan sebak.



Tag: Ramadan, asnaf, bantuan, Tesco, PPZ, Zakat, MAIWP, baitulmal, amal Ramadan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.