Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menjawab dakwaan yang disifatkan bermotifkan politik di media sosial berhubung pembelian tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

TH dalam satu kenyataan menjelaskan, pembelian tanah tersebut adalah satu transaksi komersial hartanah yang biasa dilakukan oleh pelbagai syarikat.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah, tanah seluas 1.56 ekar di lokasi premium tersebut diperolehi TH pada tahun 2015 dengan harga RM189 juta atau pada kadar RM2,774 satu kaki persegi.

Harga belian tersebut adalah di bawah nilai pasaran pada waktu itu berbanding harga belian syarikat lain.

Nilai tanah TH di TRX kini telah meningkat kepada RM205 juta atau RM3,002 satu kaki persegi. Peningkatan sebanyak 8.2 peratus berbanding harga belian menunjukkan peningkatan nilai pulangan yang baik dalam jangka masa singkat.

TH juga merancang untuk membangunkan tanah tersebut dengan nilai pembangunan kasar projek yang dianggarkan berjumlah RM900 juta.

“Pembelian tanah di TRX oleh TH berdasarkan penilaian jangka masa panjang. Pembangunan bersepadu di TRX bakal menjadi sebuah Hab Kewangan Antarabangsa yang merangkumi konglomerat bisnes dan kewangan, serta pembangunan kemudahan infrastruktur bertaraf dunia," jelas Johan.

"Kami yakin pembangunan ini akan mendapat sambutan yang baik daripada pasaran kerana ia akan dibina mengikut keperluan semasa selain dapat dijual dengan harga yang kompetitif di lokasi yang premium,” sambung beliau lagi.

Pelaburan hartanah di TRX juga merupakan antara strategi peruntukan aset TH yang menumpukan kepada pelaburan domestik serta meningkatkan pendedahan di dalam sektor hartanah yang strategik untuk menjana pendapatan berulang serta mengoptimumkan prestasi kumpulan.

Ia juga merupakan misi TH untuk memastikan kelangsungan dan keterlibatan umat Islam secara berkumpulan dalam pembangunan ekonomi di kawasan berkenaan.

Hasil keuntungan daripada pembangunan yang akan dilaksanakan bakal memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pendeposit TH melalui penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan haji di Tanah Suci secara percuma, subsidi haji, pengagihan hibah tahunan dan hibah haji.

TH menegaskan agar pihak-pihak dan individu berkaitan harus berhenti dari mensensasikan komen serta analisis tidak tepat yang berbaur politik kerana ia boleh mengelirukan rakyat.