Tabung Haji (TH) akan berusaha memastikan kelancaran proses imgresen jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz buat masa ini tidak terjejas, meskipun dengan kehadiran jemaah haji dari Indonesia.

Pengurus Operasi Terminal TH di Madinah, Mohd Ramli Zakaria berkata jemaah haji Indonesia turut melalui terminal sama dengan jemaah haji Malaysia dan kebiasaannya mereka akan tiba pada 7 Zulkaedah (21 Julai) setiap kali musim haji.

"Kita telah mengambil beberapa langkah, antaranya melaksanakan mesyuarat post-mortem pra pelepasan tempoh hari. Kita juga telah mempertingkatkan usaha dan hubungan baik pihak United Agent yang menguruskan bagasi dan jemaah haji.

"Kita juga sentiasa peka dengan ketibaan jemaah haji Malaysia dan mengambil inisiatif untuk memberi makluman awal kepada petugas-petugas di sini untuk membantu proses pengeluaran bagasi dan jemaah haji dari terminal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya pihak berkuasa Arab Saudi turut memberi jaminan untuk membantu petugas haji di lapangan terbang sekiranya terdapat isu berkaitan ketiadaan bas dan kesesakan di kawasan parkir.

"Mereka (pihak berkuasa Arab Saudi) akan memberi bantuan kepada jemaah haji Malaysia untuk keluar dari terminal. Saya yakin bahawa hubungan baik kita dengan pihak tempatan dapat memastikan kelancaran proses di imigresen tidak terjejas," katanya.

Razali berkata Malaysia dan Indonesia adalah dua negara yang terlibat dalam program 'Road to Makkah' atau 'Tariq Makkah' yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi tahun ini.

Melalui program ini, kerajaan Arab Saudi akan membuat pemeriksaan imigresen serta bagasi bagi jemaah dari kedua-dua negara di negara asal, sekali gus menyingkatkan masa dan proses imgresen setibanya mereka di Arab Saudi.

Pada masa sama, Tabung Haji sedang berusaha untuk memendekkan lagi tempoh masa jemaah haji untuk tiba ke penginapan dengan perlaksanaan beberapa inisiatif untuk memastikan tempoh menunggu tidak terlalu lama di lapangan terbang, terutamanya bagi ketibaan pada waktu siang.

"Pada awalnya kita menggerakkan jemaah haji mengikut nombor bas, namun kita telah menukar strategi iaitu mana-mana bas jemaah haji yang sudah penuh boleh segera meninggalkan terminal, tanpa perlu mengikut nombor bas," katanya.

Dengan perlaksanaan inisiatif ini, beliau melihat tempoh perjalanan jemaah haji dari lapangan terbang ke hotel penginapan mampu dipendekkan kepada 30 minit berbanding lebih kurang 45 minit buat masa ini.

Hingga malam Selasa, sebanyak 10 penerbangan catar haji Malaysia telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz bermula 14 Julai, membawa lebih kurang 10,000 jemaah.

-- BERNAMA