Thaipusam satu lagi peristiwa perpaduan kaum - Dr Mahathir

Thaipusam satu lagi peristiwa perpaduan kaum - Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perayaan Thaipusam yang akan disambut penganut Hindu esok, adalah satu lagi peristiwa menggambarkan perpaduan kaum di Malaysia.

Menerusi perutusan dimuat naik di akaun Facebook, Dr Mahathir berkata walaupun perayaan itu lebih signifikan terhadap masyarakat beragama Hindu, di Malaysia perayaan akan dikongsi bersama dengan kaum-kaum dan penganut agama lain.

"Ini satu lagi peristiwa menggambarkan perpaduan kaum di Malaysia walaupun pengikut agama lain tidak mempunyai kaitan dengan perayaan Thaipusam tetapi mereka ingin bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang beragama Hindu, mereka ingin rayakan hari ini," katanya.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Thaipusam, Dr Mahathir turut berharap agar sambutan itu diraikan dengan penuh gembira oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusannya menyatakan perayaan tersebut memberi peluang buat rakyat Malaysia mempamerkan penghargaan terhadap kekayaan budaya yang telah lama dinikmati bersama sebagai satu bangsa.

"Persefahaman dan silaturahim di antara pelbagai agama dan kaum ini wajib diteruskan oleh rakyat Malaysia.

"Perpaduan dan keharmonian ini adalah tanda kemegahan sebenar Malaysia Baharu," katanya sambil mengucapkan selamat menyambut Thaipusam kepada penganut Hindu yang meraikannya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pula mahu semangat perjuangan menumpaskan kejahatan dan keangkuhan dikongsi seluruh umat manusia selain menghormati penganut Hindu yang menyambut Thaipusam sebagai hari peribadatan dan penyucian diri mereka.

Mohamed Azmin juga berharap sambutan itu dapat membantu meningkatkan azam untuk membanteras pelbagai bentuk kejahatan dan keangkuhan.

"Masyarakat Tamil merayakan Thaipusam pada malam bulan mengambang bulan kesepuluh Panchangam Tamil. Tahun ini ia bersamaan 21 Jan 2019. Kemuncak perayaan adalah mengingati detik Dewi Parvati mengurniakan tombak Vel kepada Dewa Murugan untuk menumpaskan Surapadma yang jahat," katanya.

-- BERNAMA