SIBU:Penduduk Rumah Panjang Pasai Siong terus memberikan kerjasama baik kepada petugas barisan hadapan demi memutuskan penularan COVID-19 di kawasan itu.

Menurut Ketua Kaum Pasai Siong Hilir Tuai Rumah Sijah Ejut, semua aktiviti-aktiviti di ruai rumah kini dihentikan sepanjang tempoh sekatan pergerakan 14 hari di situ. 

"Keadaan sekatan pergerakan setakat hari ini iaitu 10 Januari 2021 penduduk rumah panjang diarah tidak pergi ke rumah panjang dan bilik yang lain. Aktiviti di ruai atau beranda rumah panjang dihentikan buat sementara waktu.

"Buat masa ini bekalan makanan dan barangan asas lain mencukupi, namun kami berharap bantuan ini berterusan sehingga sekatan pergerakan ditamatkan," Katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Akui Sijah, memang agak janggal untuk mengubah kelaziman kehidupan harian mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan tetapi warga di rumah panjang tetap berusaha.

"Penerimaan mengenai sekatan pergerakan ini bagi penduduk rumah panjang saya agak baik. Mereka semua mengikuti SOP yang telah ditetapkan walaupun pada mulanya agak janggal bagi mereka terutamanya warga tua," katanya.