Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang didakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu tidak mempunyai alasan kukuh untuk mencabar keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar memberitahu, mengikut Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) mempunyai budi bicara sama ada berkenan atau tidak untuk membubarkan DUN.

Menurut beliau, Konvensyen Perlembagaan Sabah ada menjelaskan bahawa Ketua Menteri semasa iaitu Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memangku tanggungjawab sebagai ketua kerajaan negeri sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas negeri itu melalui Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 60 hari.

"Pun begitu sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem kebebasan demokrasi, beliau (Musa) masih mempunyai hak untuk mencabar keputusan di mahkamah, namun mahkamah tetap akan membuat keputusan berdasarkan Perlembagaan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

BACA: Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan

BACA: Musa Aman tolak keputusan bubar DUN kerana bahayakan nyawa rakyat Sabah

BACA: Warta Kerajaan Negeri Sabah pembubaran DUN

Khairil menambah, menurut Perkara 7(1), jika ketua menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli DUN, maka melainkan jika atas permintaan Yang di-Pertua Negeri memperkenankan untuk membubarkan Dewan Undangan, maka ketua menteri hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

Namun katanya, mengikut Perkara 10(2), Yang di-Pertua Negeri, boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi melantik seorang ketua menteri atau tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran DUN.

Dalam konteks ini katanya, TYT mengikut Perkara 10(2)(b), menggunakan budi bicara untuk memperkenan permintaan Mohd Shafie untuk untuk pembubaran tersebut.

"Musa Aman tidak boleh persoalkan hal ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menggubal segera undang-undang lompat parti bagi menghalang perbuatan sesetengah Ahli Parlimen dan ADUN yang gemar berbuat demikian.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Adrian Banie Lasimbang memberitahu, Musa tidak seharusnya membazir masa untuk mempertikai Perlembagaan Negeri Sabah memandangkan warta rasmi kerajaan telah keluar.

"Kita seharusnya menghormati apa yang diperkenan oleh TYT. Kami mendukung kuasa mutlak TYT," ujarnya.