Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Syarikat Oratis Rx Sdn Bhd untuk memberhentikan terus kemudahan bekalan ubat dan alatan perubatan kepada pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tanggungannya.

Syarikat itu, ketika mengesahkan perkara berkenaan menerusi kenyataan hari ini, berkata sebaliknya, segala urusan pembekalan ubat dan alatan perubatan kepada pesara dan veteran ATM selepas 27 Feb lepas akan diuruskan oleh pihak kerajaan tanpa lagi melalui sistem Electronic Medical Automation Supply System (e-MASS).

"Kontrak perkhidmatan pembekalan ubat dan alat perubatan kepada pesara awam persekutuan dan veteran ATM melalui sistem e-MASS yang bermula pada 26 Jan 2012 telah tamat tempoh pada 27 Jan lalu.

"Bagaimanapun perkhidmatan ini dilanjutkan secara interim sehingga 27 Feb 2017," menurut kenyataan itu bagi menjelaskan dakwaan yang ditularkan kononnya JPA telah menghentikan pemberian kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan kepada golongan itu.

BACA: JPA tidak hentikan kemudahan bekalan ubat kepada pesara kerajaan

Syarikat itu berkata berikutan penamatan kontrak berkenaan, satu notis makluman dalaman telah diedarkan kepada pembekal-pembekal berdaftar Oratis Rx Sdn Bhd untuk memberhentikan semua pembekalan ubat dan peralatan perubatan melalui sistem e-Mass berkuat kuasa 28 Feb lepas.

Menurut kenyataan itu, notis tersebut bertujuan untuk edaran dalaman dan bukan ditujukan kepada pesara kerajaan dan veteran ATM.

"Kami memohon maaf di atas sebarang kekeliruan yang timbul dan kami menyokong penuh sebarang keputusan kerajaan bagi menambah baik urusan pembekalan ubat dan alatan perubatan demi kesejahteraan pesara dan veteran ATM," kata kenyataan itu.

Melalui e-MASS, syarikat itu menjadi perantara di antara JPA dan Pesara Awam Persekutuan bagi mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan yang tidak dapat dibekalkan oleh hospital atau klinik kerajaan.

Pesakit bagaimanapun perlu membuat bayaran pembelian terlebih dahulu dan selepas itu membuat tuntutan bayaran balik ke JPA dengan mengemukakan resit pembelian.

Semalam dilaporkan JPA menegaskan bahawa kemudahan bekalan ubat dan alatan perubatan untuk pesara perkhidmatan awam persekutuan dan veteran berpencen tidak diberhentikan seperti yang ditularkan.

JPA berkata kemudahan bekalan ubat dan alat perubatan masih boleh diperoleh melalui preskripsi pegawai perubatan kerajaan di fasiliti-fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia dan hospital universiti.

-- BERNAMA