Kementerian Pengangkutan tidak pernah mengarahkan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines (MAS), AirAsia dan Malindo untuk menghentikan operasi penerbangan mereka ke Sarawak dan Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, walaupun setiap syarikat membuat polisi menghentikan penerbangan itu, beliau bagaimanapun telah berbincang dengan pihak syarikat penerbangan terbabit untuk menilai semula keputusan berkenaan.

"Kementerian Pengangkutan telah meminta pihak MAS dan AirAsia supaya mempertimbangkan semula keputusan masing-masing seterusnya membolehkan perkhidmatan penerbangan ke Sabah dan Sarawak dapat beroperasi semula.

"Saya juga telah menghubungi Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung perkara ini. MAB menyatakan bahawa mereka akan memulakan penerbangan pada minggu ini dengan penerbangan berikut," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi akaun Facebook beliau.

Kenyataan Ka Siong itu susulan gesaan Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang mahu syarikat penerbangan tidak menghentikan operasi ke Sarawak.

BACA: Batal penerbangan ke Sarawak hanya undang implikasi lebih buruk - Abdul Karim

Dalam pada itu, Ka Siong menjelaskan, MAB bersetuju memulakan penerbangan pada minggu ini secara terhad ke beberapa lokasi seperti Kuala Lumpur-Kuching-Kuala Lumpur; Kuala Lumpur-Miri-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu-Kuala Lumpur.

Jelasnya, semua penerbangan MAB ini akan beroperasi sekali seminggu.

"Malah MAB turut memastikan agar penerbangan ini akan dihubungkan oleh MASwings untuk sektor domestik iaitu Miri–Bintulu–Miri; Kuching–Sibu–Kuching dan Sibu– Bintulu–Sibu," katanya yang turut menyebut akan ada pertambahan penerbangan jika terdapat permintaan.

Semua penerbangan MAB ini akan beroperasi sekali seminggu dan akan ditambah sekiranya terdapat permintaan

Ka Siong turut menjelaskan, perkhidmatan kargo Malaysian Airlines yang membawa barangan keperluan perubatan dan makanan tidak dihentikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata beliau, bagi perkhidmatan kargo laluan Kuala Lumpur-Kuching-Kuala Lumpur; Kuala Lumpur-Bintulu-Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur-Labuan-Kuala Lumpur akan beroperasi tiga kali seminggu.

AirAsia Berhad menghentikan sementara operasinya bagi sektor antarbangsa dan domestik bermula 28 Mac 2020 sehingga 28 April 2020.

Pada 26 Mac 2020, Kumpulan AirAsia Berhad dalam kenyataan menyebut syarikat itu terpaksa menghentikan sementara operasinya bagi penerbangan antarabangsa dan domestik sehingga 28 April ini susulan usaha memerangi COVID-19.

Sementara, MAS pula menghentikan operasi mereka susulan penurunan mendadak jumlah penumpang kepada 10 peratus sehingga 15 peratus.