PAS tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada barisan kepimpinannya untuk tidak mengkritik pentadbiran serta isu semasa yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang kemelut yang dihadapinya.

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tiada arahan khusus untuk pimpinan PAS menutup mulut dari mengkritik kelemahan UMNO termasuk isu yang dihadapinya.

Mohd Amar di minta mengulas mengenai situasi politik kini antara PAS dan UMNO yang mana mutakhir ini PAS di lihat mengambil sikap berdiam diri dan tidak kuat mengkritik UMNO tentang isu semasa termasuk isu 1MDB dan dakwaan aliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun perdana menteri.

Terbaru kenyataan Mursyidul Amnya, Datuk Dr Haron Din yang dilihat mempertahankan Najib daripada skandal terkini susulan pendedahan the Wall Street Journal (WSJ) mengenai aliran wang berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi beliau.

Situasi ini di lihat beberapa pihak yang meramalkan PAS dan UMNO akan dapat duduk semeja dan mewujudkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu Mohd Amar menjelaskan PAS belum lagi menerima sebarang jawapan dari tiga calon PAS yang tewas pada pemilihan dalam muktamar yang dilantik sebagai anggota jawatankuasa kerja (AJK) PAS pusat.

Mereka terdiri daripada bekas Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub, bekas ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan bekas AJK Pas Pusat, Taufek Abdul Ghani.

Pelantikannya diumumkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS pada 21 Jun lalu.

Sehingga kini ketiga-tiga mereka belum lagi memberikan jawapan.
Dr Haron Din menyifatkan dakwaan WSJ itu tidak logik dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dulu.

Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

Katanya beliau merasakan laporan itu mesti disiasat kebenarannya sama ada benar atau tidak.

Pemimpin itu berkata artikel terbabit dianggap tuduhan berat, kerana boleh menjejaskan ekonomi negara menerusi kehilangan kepercayaan dalam kalangan pelabur.

Jumaat lalu, WSJ memetik dokumen siasatan ke atas syarikat sarat hutang oleh pihak berkuasa Malaysia, yang menunjukkan berbilion ringgit dimasukkan ke dalam peribadi Najib pada 2013.

Najib menafikan dakwaan itu dan kini berdepan gesaan supaya mengundur diri bagi membolehkan siasatan telus dilakukan.

Sebuah pasukan khas yang disertai peguam Negara polis dan suruhanjaya pencegahan rasuah (SPRM) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan WSJ.