Tidak wujud campur tangan dan gangguan pihak luar dalam penyiasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Mustafa Ali berkata SPRM merupakan badan bebas yang mempunyai kuasa penyiasatan yang ditentukan sendiri.

Bagaimanapun, beliau mengakui perlunya status suruhanjaya perkhidmatan diadakan pada masa depan bagi memastikan kebebasan SPRM dilindungi dan dipertingkatkan.

"Tiada sesiapa mencampuri urusan penyiasatan SPRM. Namun apa dikatakan sebelum ini adalah SPRM masih belum wujud lagi suruhanjaya perkhidmatan SPRM dan perkara itu telah dibincangkan di peringkat kerajaan dan persetujuan telah dibuat.

"Cuma kini kerajaan khususnya Datuk Paul Low akan bawa ke peringkat lebih tinggi hingga ke Parlimen untuk pembentangan seterusnya," katanya ketika ditemui pada persidangan antirasuah antarabangsa IACC ke-16 di Putrajaya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dalam ucapan perasmian persidangan itu menegaskan kebebasan SPRM akan terus dipertahan dalam usaha memerangi rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

"Saya akan melindungi institusi SPRM dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan termasuk menjalankan siasatan. Saya akan mempertahankan agensi itu walau apa yang terjadi," katanya.