Tutup

Tiada cukai jualan pelbagai peringkat produk petroleum - Abang Johari

Tiada cukai jualan pelbagai peringkat produk petroleum - Abang Johari
ABANG JOHARI: Cukai jualan hanya akan dikenakan ke atas produk yang dieksport. - Astro AWANI
KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat menjelaskan cukai jualan hanya akan dikenakan ke atas produk petroleum yang dieksport dan tiada cukai jualan pelbagai peringkat akan dikenakan.

Ketika menjelaskan perkara berkenaan, beliau berkata berlaku banyak salah faham mengenai cukai jualan eksport produk petroleum dan gas, yang diumumkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri bulan lepas.
"Pihak industri menganggap bahan mentah (yang dijual) kepada loji gas asli cecair (LNG) akan dikenakan cukai pada kadar lima peratus, dan akan dikenakan lima peratus lagi apabila LNG dihasilkan dan dieksport, yang mana ia bukan sedemikian.

"Cukai jualan hanya akan dikenakan ke atas produk yang dieksport," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian jual dan beli antara Petronas Chemicals Marketing (Labuan) Ltd dan Sarawak Petchem Sdn Bhd di sini, pada Jumaat.
Perjanjian itu bertujuan memasarkan produk metanol daripada projek Metanol Sarawak.

Sarawak akan mengenakan cukai jualan pada kadar 5.0 peratus ke atas produk petroleum yang dieksport mulai 1 Jan, 2019, sebagai sumber hasil baharu untuk menyokong agenda pembangunan negeri.

Cukai itu akan dilevikan ke atas minyak mentah; gas asli; gas asli cecair; produk baja berasaskan kimia dan produk daripada proses penukaran gas-kepada-cecair, menjana anggaran hasil RM3.90 bilion kepada Sarawak.

Sementara itu, ketua menteri berkata kerajaan sedang membuat kerja cadangan untuk membangunkan hanya sistem Transit Aliran Ringan (LRT) bagi laluan Kuching-Kota Samarahan.

Abang Johari berkata cadangan projek LRT itu akan dikecilkan dan kajian sedang dijalankan bagi menentukan kos.

"Terdapat permintaan rakyat di Samarahan supaya LRT dibina dan kita akan meneliti semula projek ini," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sarawak, cukai jualan, produk, petroleum, loji gas asli cecair, LNG



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.