Tutup

Tiada gelombang haba, tetapi elak aktiviti luar - Meteorologi Sabah

Tiada gelombang haba, tetapi elak aktiviti luar - Meteorologi Sabah
Murid-murid di sebuah sekolah rendah di Penampang berjalan di kawasan sekolah yang kering selepas menghadiri sesi kelas tambahan petang hari ini. - Astro AWANI
KOTA KINABALU: Jabatan Meteorologi Sabah meramalkan 'gelombang haba' tidak akan berlaku meskipun cuaca panas yang disebabkan faktor ketiadaan hujan di negeri ini berterusan sehingga akhir bulan Mac.

Meskipun tiada gelombang haba diramalkan berlaku, jabatan itu menasihatkan orang ramai untuk tidak aktif melakukan aktiviti di luar atau membuat sebarang pembakaran terbuka. 

Pengarahnya Azemi Daud berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan daripada insiden yang tidak diingini berlaku pada musim kemarau ini.

Katanya, pihaknya mengenalpasti tahap maksimum cuaca panas yang direkodkan setakat ini mencecah 33 darjah Celsius, namun masih tidak mengakibatkan gelombang haba.
“Orang ramai juga dinasihat meminum air dengan kuantiti yang banyak bagi mengelakkan daripada diserang penyakit,” katanya.

Azemi berkata, pihaknya meramalkan cuaca panas di daerah seperti Kudat, Sandakan dan Tawau dijangka berlarutan sehingga April.
“Cuaca panas ini adalah disebabkan faktor berikutan kekurangan hujan di Sabah.

“Saya meminta semua penduduk untuk mengambil langkah mengurangkan aktiviti luar sepanjang musim kemarau ini,” katanya.

Pada Rabu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dilaporkan mengesan sebanyak 36 titik panas sepanjang Februari berikutan cuaca panas dan kekurangan hujan selain aktiviti pembakaran terbuka tidak terkawal oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarahnya, Tunku Khalkausar Tunku Fathahi berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan mendadak 500 peratus berbanding hanya tujuh titik panas direkodkan sepanjang Januari di bahagian Pedalaman, Pantai Barat Sabah dan Kudat.