Tiada sebarang halangan untuk parti komponen Pakatan Harapan untuk menggunakan logo mana-mana parti selagi parti tersebut membenarkannya.

Penasihat Undang-Undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azizan Arshad berkata perkara yang perlu diberikan perhatian adalah individu yang ingin bertanding di atas tiket parti tersebut perlu mempunyai surat watikah pelantikan atau kebenaran daripada parti itu.

"Dari pihak SPR, kami tiada masalah, selagi parti politik itu sudah didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) secara sah dan telah melalui proses pendaftaran logo dengan SPR, mereka boleh menggunakan logo tersebut," kata beliau dalam wawancara khas di Buletin AWANI Malaysia Memilih pada petang ini.

Isu tersebut berbangkit selepas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa semua parti komponen dalam PH akan menggunakan logo PKR untuk bertanding dalam PRU 14 nanti.

Keputusan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi, terutamanya dari pihak Barisan Nasional yang menyelar tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan cuba mengelirukan pengundi.