Kerajaan Negeri hanya memperjuangkan hak menjadi milik Sarawak, bukan berhasrat mahu keluar dari Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg berkata, justeru negeri itu akan terus menuntut kembali hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Kita bukan mahu keluar Malaysia malah usaha mendapatkan hak tersebut dilakukan menerusi rundingan baik dengan mengambil kira pelbagai aspek demi kebaikan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku 'Deals, Datus and Dayaks: Sarawak and Brunei In The Making Of Malaysia' oleh Micheal Leigh di Kuching hari ini.

Kata Abang Johari, Sarawak merupakan rakan kongsi Persekutuan Tanah Melayu yang terlibat dalam pembentukan Malaysia bersama Sabah.

"Dalam konteks ini, kita mahu hak yang terhakis seperti termaktub dalam MA63.

"Baru-baru ini, ada pihak menuntut hak eksklusif industri minyak dan gas di Sarawak.

"Dan kita akan perjuangkan juga menerusi undang-undang termasuk Ordinan Pelombongan Minyak 1958 (Pindaan) 2018," jelasnya.

Buku 'Deals, Datus and Dayaks: Sarawak and Brunei In The Makin Of Malaysia' menceritakan berkenaan menceritakan sejarah penubuhan Malaysia yang melibatkan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam di peringkat awal bagi menjadi rakan kongsi bersama Persekutuan Tanah Melayu.