Tiada ilmu dan kesedaran menguruskan konflik serta emosi adalah punca utama kes keganasan rumah tangga termasuk isu penderaan pasangan atau ahli keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Itu pendapat perunding hubungan kekeluargaan, Diyana Tahir yang mengakui pihaknya menerima aduan tidak rasmi daripada beberapa pihak mengenai isu berkenaan.

“Faktor utama adalah tiada ilmu dan kesedaran tentang cara menguruskan konflik dan emosi.

“Penderaan dan keganasan rumah tangga bukan tertakluk kepada penderaan fizikal sahaja, malah kata-kata yang menyakitkan hati, kemarahan dan maki hamun sebenarnya memberi impak secara terus kepada manusia.

“Manusia yang selalu kena marah akan mengalami gangguan dalam pemikirannya,” jelas Diyana sewaktu dihubungi oleh Astro AWANI pada Selasa.

BACA: 135 aduan keganasan rumah tangga diterima sepanjang PKP

Beliau berkata, masalah tekanan perasaan biasanya menjadi punca utama mendorong kepada perlakuan kasar dalam perhubungan.

“Banyak aduan yang kami terima, macam-macam kisah yang didengar, yang melibatkan keganasan, penderaan, memaki hamun sehingga menyebabkan anak-anak trauma dan sebagainya.

“Selama ini mereka (mangsa) memang ada masalah dalam rumah tangga cuma ramai orang (mangsa) dia alih perhatian dia dengan kerja dan perniagaan.

“Jadi masa bersama dengan suami (pasangan) itu (terhad), isteri hanya berada di rumah dalam masa dua hingga tiga jam sahaja sehari.

“Tetapi dalam tempoh PKP ini, mereka berada bersama di rumah selama 24 jam, itu yang menyebabkan masalah menjadi semakin besar," tambah beliau lagi.

Beliau menasihatkan agar mangsa keganasan rumah tangga segera melaporkan kepada pihak berkuasa.

“Jika sudah melibatkan penderaan fizikal, sampai terluk, pada saya elok untuk terus laporkan kepada polis atau dapatkan bantuan menerusi Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) di talian 15999.

“Tidak perlu mengadu kepada kenalan seperti jiran mahu pun ahli keluarga, tetapi terus kepada Talian Kasih atau polis untuk dapatkan bantuan," katanya.

Dalam usaha membantu golongan terbabit, Diyana menganjurkan kelas percuma kepada golongan wanita termasuk ilmu rumah tangga dan penyelesaian konflik menerusi laman web www.kembalibercinta.com.