Tiada sebarang insiden pergaduhan antara kaum di Gurun dan Kuala Ketil sepertimana yang tular di media sosial sejak kebelakangan ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kedah, Datuk Abd Rahim Jaafar yang menafikan mesej tular tersebut yang menggesa orang ramai menyimpan senjata sebagai persiapan untuk melakukan rusuhan antara kaum.

Menurutnya, penyebaran gambar serta mesej berkaitan ketegangan kaum itu adalah tidak benar sama sekali.

“Kebelakangan ini tular gambar dan maklumat konon berlaku pergaduhan antara kaum Melayu dan India di Gurun dan Kuala Ketil.

"Saya tegaskan, tiada kejadian seumpama berlaku di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abd Rahim berkata keadaan di Gurun dan daerah Kuala Muda adalah selamat, aman dan sejahtera.

“Penyebaran berita palsu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan kegusaran dan ketakutan kepada masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya menghentikan perbuatan menyebarkan berita atau maklumat palsu di media sosial kerana boleh mencetuskan sentimen perkauman selain dibimbangi menggugat keselamatan serta keamanan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam di negeri ini,” katanya.

Abd Rahim berkata, mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu boleh diambil tindakan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.