Hidup sebagai gelandangan bukan tiket untuk meminta-minta daripada orang lain malah ia juga bukan penghalang mencari rezeki yang halal.

Ini kerana setiap insan punya bakat dan kelebihan dalam menghasil dan melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup.

Itu pegangan seorang gelandangan yang memiliki kepakaran sebagai tukang kasut di Kuching, Sarawak, Heroman Abdul Rahaman.

Heroman menjadikan kelebihan itu untuk mencari rezeki bagi menampung kehidupan sehariannya, namun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu, ia sedikit sebanyak menghalangnya untuk meraih pendapatan yang lebih.

Namun kini Heroman boleh kembali meneruskan rutin hariannya itu setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan.

Ini sedikit sebanyak mampu membantu memastikan keperluan harian dapat dibeli seperti sebelumnya.

“Kini saya dah boleh mencari rezeki sama seperti sebelum tarikh PKP dilaksanakan, saya bersyukur kerana saya boleh menampung keperluan harian saya.

“Seperti hari ini, saya sudah menerima empat pasang kasut untuk dibaiki, jadi memang tempoh PKPB ini memang membantu mereka yang mencari rezeki seperti saya,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, kerjaya sebagai tukang kasut hanya cukup untuk mengalas perut dan tidak mampu memiliki tempat buatnya berteduh.

Lelaki berusia 38 tahun dari Pusa itu kini hanya berteduh daripada hujan dan panas di sebuah premis makanan berhampiran Electra House di Kuching.

Menteri KWKPK, Datuk Seri Fatimah Abdullah meluangkan masa mendekati Heroman Abdul Rahaman bagi memahami kesukaran dihadapinya ketika ini.

Nasib heroman itu Astro AWANI panjangkan kepada Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Fatimah kemudian turun padang membuat tinjauan bagi memastikan golongan gelandangan ini mendapat bantuan sewajarnya.

Katanya, setiap kes seperti ini perlu diteliti sebaiknya kerana terdapat kumpulan gelandangan ini yang masih bekerja namun tidak memiliki kediaman.

“Saya sudah berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secara terperinci daripada segi potensi setiap individu ini.

“Apa yang penting ketika ini juga adalah mereka memerlukan sebuah pusat transit, tempat di mana mereka boleh datang hanya untuk tidur dan mandi seterusnya bekerja seperti biasa,” tambahnya.