Tidak timbul isu rakyat di Rantau akan dipinggirkan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 13 April ini.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan yang mentadbir pada hari ini adalah untuk rakyat secara keseluruhannya dan bukan tertumpu kepada Pakatan Harapan sahaja.

“Semasa kerajaan di bawah BN, tidak timbul isu pembangunan walaupun tempat-tempat atau negeri-negeri dikuasai oleh pembangkang.

“Kawasan di Rasah tetap menerima pembangunan semasa BN memerintah. Segala isu masyarakat dan hal ehwal rakyat tetap kita selesaikan.

“Saya amat tidak setuju jika ada kata-kata mengatakan bahawa jika saya menang di Rantau, orang di Rantau akan dipinggirkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan BN di Rantau, di sini hari ini.

Jelas Mohamad, pandangan dan juga dasar yang dilemparkan itu patut dikecam.

“Dulu di Kelantan kita bangunkan sehinggakan nak buat lebuh raya dan Kuala Lumpur walaupun banyak dipegang oleh pembangkang, kita bangunkan.

“Di Pulau Pinang, macam mana pun mereka jadi kerajaan pembangkang, kita besarkan lapangan terbang untuk kemudahan rakyat.

“Jadi jangan ada kata-kata dan hasrat serta dasar yang mahu meminggirkan sesiapa sebagai rakyat Malaysia, khsususnya rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Jelasnya, sebagai kerajaan, pentadbiran yang diuruskan perlu dijalankan secara baik dan adil agar rakyat akan mendapat faedah dan perkhidmatan yang disediakan.